Sukar Mencari Kerja & Apa Yang Boleh Anda Lakukan?

Mencari pekerjaan boleh menjadi sesuatu yang sukar. Tetapi proses mencari pekerjaan ini boleh menjadi mudah jika anda mengubah suai strategi mencari kerja. Kejatuhan ekonomi, kurang pengalaman, kurang jaringan ataupun lebih biasa kita panggil sebagai 'kabel, usaha tidak mencukupi boleh menjadi penyebab mengapa anda tidak berjaya mencari kerja. Di sini saya akan berkongsi tentang strategi ataupun taktik yang boleh cuba untuk anda keluar dari status sebagai 'penganggur terhormat'.

Saya sangat suka untuk berkongsi tentang catatn di dalam sebuah buku yang saya baru baca baru-baru ini oleh Grant Cardone yang bertajuk The 10x Rule (Peraturan 10 kali ganda) yang mengetengahkan tentang "Setiap usaha yang anda lakukan hendaklah digandakan sebanyak 10 kali. Ini sedikit sebanyak, akan menjamin keputusan yang lebih baik di dalam mencari pekerjaan yang diinginkan"


Ini adalah sistem yang baik untuk anda mencari kerja. Banyak pencari kerja di luar sana yang tidak melakukan usaha yang menyeluruh atau sehabis baik. Jika anda fikir yang anda boleh mendapat satu tawaran pekerjaan dengan memohon di 15 syarikat, anda sepatutnya mengandakan usaha anda 10 kali ganda dengan memohon di 150 syarikat untuk jawatan yang berkaitan. Anda perlu meningkatkan usaha untuk mendapatkan pekerjaan yang diingini dan ramai pencari kerja selalu memandang remeh tentang perkara ini. Jangan berputus asa dan terus bersikap konsisten.


Anda VS Beratus Pencari Kerja Yang Lain


Sebagai seorang yang berkerja di bidang pengambilan pekerja, saya menerima ratusan permohonan pekerjaan dan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada mereka memohon jawatan yang tidak berkenaan atau dengan erti kata lain tidak padan dengan jawatan yang diiklankan. Jika anda memohon untuk jawatan di institusi perbankan, anda sepatutnya mengetengahkan pengalaman anda yang berkaitan dengan pengalaman di sektor perbankan ataupun firma kewangan yang berkenaan selain mengenal pasti kelayakan anda untuk jawatan tersebut.


Anda juga perlu memastikan bakal majikan anda melihat bagaimana kelayakan dan pengalaman anda padan dengan apa jawatan yang diiklankan atau resume anda akan ditandakan sebagai 'KIV'. Ramai pencari kerja yang tidak tahu bahawa sebenarnya, setiap iklan jawatan kosong yang diiklankan di dalam surat khabar ataupun secara di atas talian akan menerima sangat banyak respon dan jika anda menghantar resume yang sembarangan, peluang anda adalah sangat kelam.


Oleh itu, sangat penting bagi anda untuk memastikan resum dan surat permohonan (cover letter) anda menonjol daripada calon-calon yang lain. Tips, ramai diantara kita yang suka menggunakan satu resume untuk semua jawatan yang dipohon. Taktik yang baik adalah, anda perlu menyediakan beberapa versi resume yang mana informasi yang disampaikan hendaklah padan dengan jawatan kosong yang dipohon.


Kurang ataupun Tiada Pengalaman.


Kurang atau tiada pengalaman boleh menjadi satu daripada sebab terbesar mengapa ramai pencari kerja gagal mendapat tawaran kerja yang ada. Cerminlah diri sendiri. Tak perlulah anda memohon untuk jawatan yang lebih senior jika pengalam anda cuma di tahap junior sahaja. Letakkan usaha dan masa anda pada perkara atau usaha yang betul. Fokus kepada jawatan kosong yang secara pasti menepati kelayakan dan pengalaman yang dikehendaki.


Adalah sangat penting juga untuk anda menyatakan ekspektasi anda dengan jelas. Jika anda sangat baru di dalam sektor ataupun profesi yang diminta, anda tidak sepatutnya meletakkan nilai expektasi yang sangat tinggi. Di dalam situasi ini, perkara yang paling penting adalah mendapatkan sebanyak mungkin pengalaman yang berkaitan sebelum mengerakkan karier anda ke tahap yang lebih tinggi.


Jika anda tiada pengalaman profesional di dalam bidang yang ingin dipohon, pertimbangkan kerja-kerja sambilan atau latihan industri yang berkenaan sebagai penyokong untuk memohon jawatan yang diiklankan. Anda juga boleh menekankan di dalam resume anda tentang bagaimana pengalaman sambilan anda boleh membantu anda untuk penyesuaian kepada jawatan yang dipohon.


Selain itu, anda juga perlu menjadi lebih kreatif di dalam mencari kerja. Bukan setakat di dalam surat khabar ataupun di atas talian, tetapi anda juga boleh melayari laman web organisasi yang anda berminat untuk memohon dan click pada bahagan 'About us' ataupun 'Emplyment Opportunities'. Kadang kala, banyak organisasi yang akan mengiklankan jawatan kosong di syarikat mereka dahulu sebelum mengiklankan ke media yang lain. Ingat, jika anda cepat menghantar resume, peluang anda untuk mendapat panggilan interview adalah lebih cerah. Mengikuti media sosial syarikat-syarikat korporat juga adalah strategi yang baik untuk mendapatkan kemas kini berkenaan peluang pekerjaan yang diminati.


Siapkan Diri Dengan Pelan Khas


Bersiap sedia untuk mencari pekerjaan akan mengambil masa, usaha dan memerlukan pemikiran kreatif. Anda perlu menyediakan senarai tugasan, fail untuk pencarian kerja dan terus memastikan anda cukup terkemas kini dengan maklumat tentang jawatan kosong yang bersesuaian untuk anda pohon.


PERLU DIINGAT, anda perlu bersabar di dalam proses mencari kerja dan setiap kali anda melakukan sesuatu, sama ada berjaya atau tidak, ia adalah peluang untuk anda melatih kemahiran anda melalui kegagalan yang anda hadapi. 


M.R.Danial ialah seorang blogger bebas dan Konsultan Pengambilan di RedRadar Recruits. Beliau juga mempunyai minat yang mendalam di bidang sumber manusia, dan pada masa yang sama aktif sebagai blogger perjalanan bebas dan komentar. 


Comments